10 maut lori tangki bahan api meletup di Iran
TEHRAN – Sekurang-kurangnya 10 orang maut selepas sebuah lori tangki membawa bahan api meletup susulan kemalangan jalan raya di barat Iran, semalam.
Letupan itu berlaku di Lebuh Raya Hamedan-Sanandaj, dengan kemalangan dipercayai berpunca daripada masalah teknikal pada sistem brek kenderaan berkenaan.
Gabenor Sanandaj, ibu negeri wilayah Kurdistan Iran berkata, selain 10 mangsa yang maut, sekurang-kurangnya enam lagi cedera dalam kejadian itu.
Menurut beliau, jumlah berkenaan berdasarkan laporan awal dan angka korban masih boleh berubah.
Media penyiaran kebangsaan Iran, IRIB, melaporkan kebakaran yang tercetus selepas letupan berjaya dikawal pihak berkuasa dalam tempoh singkat.
Bagaimanapun, identiti mangsa yang maut dalam kejadian itu belum didedahkan pihak berkuasa.
Kemalangan terbabit menambah rekod panjang insiden membabitkan lori tangki dan kenderaan berat di Iran yang sering mengorbankan nyawa.
“Keadaan jalan yang kurang baik, usia kenderaan yang semakin tua serta trafik kenderaan pengangkut yang tinggi antara faktor yang sering dikaitkan dengan kemalangan maut di negara itu,” katanya dalam laporan berita IRIB.
Pada 2018, sekurang-kurangnya 13 orang maut selepas sebuah lori tangki bahan api merempuh sebuah bas yang berhenti untuk mengambil penumpang berhampiran Sanandaj.
Menurut UNICEF, kadar kemalangan jalan raya di Iran adalah kira-kira 20 kali ganda berbanding purata dunia, dengan keadaan jalan yang kurang baik dan kelemahan penguatkuasaan trafik antara faktor yang menyumbang kepada kadar kemalangan tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


