BERITA SEMASA

Pasukan SMART selamat tiba, siap siaga laksana misi di Nepal

KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 yang terdiri daripada 11 orang anggota kini dalam keadaan siap siaga bagi melaksanakan operasi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) akibat banjir lumpur di daerah Rasuwa, Nepal.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, pasukan berkenaan yang diterbangkan menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan kira-kira pukul 12 tengah hari waktu tempatan semalam.

Pasukan SMART kemudiannya menyelesaikan proses ketibaan dan protokol misi, termasuk urusan pelepasan logistik serta pengesahan manifest anggota pada pukul 4.30 petang waktu tempatan.

“Pasukan kini bergerak ke Kedutaan Besar Malaysia di Nepal bagi menerima taklimat situasi semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nadma, penyelarasan lanjut akan dilakukan bersama Kedutaan Besar Malaysia dan agensi pengurusan kecemasan tempatan bagi menentukan aturan penugasan pasukan.

“Kedudukan keseluruhan pasukan adalah baik dan tiada sebarang isu dilaporkan setakat ini,” katanya.

Nadma dalam pada itu memaklumkan pelaporan harian sepanjang misi akan diselaraskan antara agensi berkenaan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Nepal.

Kehadiran SMART MAS-01 di Kathmandu membolehkan Malaysia menggerakkan kepakaran mencari dan menyelamat sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa tempatan bagi menghadapi situasi bencana.

Pasukan berkenaan bagaimanapun akan menunggu arahan penugasan sebelum memulakan operasi, berdasarkan keperluan serta penilaian terhadap situasi semasa.

Setakat ini, nasib 55 rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan banjir kilat dahsyat di Nepal pada 26 Ogos lalu kekal menjadi tanda tanya.

​Wisma Putra dilapor berkata, angka itu diperoleh berdasarkan maklumat terbaharu daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain yang berkaitan.​

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button