Kes penemuan rangka manusia: Dua lelaki didakwa bunuh enam sekeluarga hari ini
JOHOR BAHRU – Dua lelaki warga tempatan yang ditahan berhubung kes penemuan rangka manusia termasuk lima beranak di sebuah rumah terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai bulan lalu, tiba di Kompleks Mahkamah, di sini pagi ini untuk menghadapi pertuduhan membunuh.
Kedua-dua suspek tiba pada pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis, diiringi anggota serta pegawai penyiasat kes.
Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Suspek yang dipercayai mempunyai hubungan sebagai rakan kepada dua mangsa dewasa itu dilihat memakai pakaian biasa dan dibawa secara berasingan dengan tangan bergari, memetik laporan Metro Online.
Seawal pukul 7 pagi, pengamal media mula berkampung di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru bagi membuat liputan kes yang menggemparkan negara itu.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, laporan polis dibuat oleh suami kepada seorang daripada mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lalu, selepas menemui rangka manusia ketika mencari isteri serta anak-anaknya yang dilaporkan hilang.
BACA: https://malaysiatribune.news/jenayah-mahkamah/lima-beranak-maut-dibunuh-dalam-kebun-sawit/
Susulan penemuan tersebut, pasukan patologi forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) bersama forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat ke atas rangka yang ditemui di rumah berhampiran sebuah kuil terbiar itu.
Hasil siasatan mendapati enam mangsa terdiri daripada seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun serta seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun.
Menurut beliau, polis masih menyiasat tempoh sebenar kehilangan semua mangsa namun mereka dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga bulan sebelum ditemui.
Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan empat suspek warga tempatan, terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu bagi membantu siasatan.
Hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







