JENAYAH & MAHKAMAH

Nahas ragut tiga nyawa: Remaja pandu Honda Jazz diarah ke Henry Gurney, bayar pampasan

SEREMBAN – Seorang remaja lelaki yang mengaku bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga individu dalam kemalangan di Senawang tahun lalu diperintahkan menjalani penahanan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Perintah itu dibuat Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah terhadap remaja berusia 18 tahun sembilan bulan itu selepas mahkamah meneliti laporan sosial yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain mengambil kira hujahan pihak pendakwaan dan rayuan pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan remaja berkenaan ditempatkan di Sekolah Henry Gurney berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, ibunya sebagai penjaga dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM4,000.

Remaja tersebut juga diarahkan berada di bawah pengawasan pegawai akhlak selama setahun selepas tamat tempoh tahanan.

Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu tanpa lesen, mahkamah mengenakan denda RM2,000 atau penjara sebulan jika gagal menjelaskan bayaran tersebut.

BACA JUGA:

Seorang lagi mangsa kemalangan babitkan Honda Jazz meninggal dunia
Kakak pemandu Honda Jazz sebabkan kematian dua beradik tampil mohon maaf, akui emosi dalam keluar kenyataan 
‘Motor keluar simpang bila lampu dah hijau’ – Saksi kemalangan Matahari Heights

Mahkamah turut memerintahkan ibu bapa remaja itu membayar pampasan RM2,000 kepada setiap keluarga mangsa mengikut Seksyen 426A Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, tertuduh hadir ke mahkamah dengan bertongkat dan ditemani ahli keluarganya.

Peguam bela, Johan Radzi memohon penangguhan pelaksanaan perintah atas alasan keadaan kesihatan anak guamnya.

Bagaimanapun, permohonan itu ditolak selepas mahkamah dimaklumkan bahawa Sekolah Henry Gurney mempunyai kemudahan kesihatan yang mencukupi untuk memberikan rawatan sewajarnya.

Menurut Johan, mahkamah turut mengarahkan keluarga anak guamnya menjelaskan pampasan RM2,000 kepada setiap empat keluarga mangsa pada hari ini.

Kes berkenaan mendapat perhatian ramai selepas kemalangan membabitkan sebuah Honda Jazz yang dipandu remaja itu mengorbankan tiga nyawa dalam kejadian di Senawang pada Mac tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button