Sharifah Shahirah cadang kutipan dana bantu Salih Yaacob
KUALA LUMPUR – Prihatin terhadap nasib rakan seperjuangan yang berdepan ujian kesihatan, pengacara dan penyampai radio, Sharifah Shahirah mencadangkan agar satu kutipan dana diwujudkan bagi membantu pelawak dan pelakon veteran, Salih Yaacob.
Sharifah atau lebih dikenali sebagai Shiera berkata, inisiatif itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban Salih, 64, yang kini tidak lagi mampu bekerja akibat keadaan kesihatannya.
“Beliau sebenarnya mahu bekerja, namun tahap kesihatannya tidak mengizinkan. Ada yang mencadangkan supaya beliau diberi peluang berlakon agar mempunyai pendapatan tetapi hakikatnya beliau sudah tidak berdaya untuk bekerja.
“Jadi, apa kata kita sebagai rakan artis mengadakan kutipan bagi membantu artis-artis yang sedang dalam kesusahan seperti beliau. Tidak wajar untuk menyuruh beliau bekerja dalam keadaan sekarang,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Shiera berkata demikian selepas menziarahi Salih yang kini menerima rawatan di hospital.
Salih dilaporkan dimasukkan ke Hospital Ampang pada November lalu akibat masalah tekanan darah tinggi.
Menurut Shiera, isteri kepada bekas penyampai radio itu memaklumkan bahawa Salih bukan sahaja menghidap darah tinggi malah turut mengalami serangan strok ringan.
“Walaupun kesihatannya tidak begitu baik, beliau masih mampu bergelak ketawa dan kekal positif.
“Doktor turut menasihatkan agar beliau banyak bergerak kerana ototnya semakin lemah akibat terlalu lama berbaring,” katanya.
Dalam pada itu, Shiera memaklumkan Salih turut mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan dan kenalan yang ingin menziarahinya sebagai sokongan moral.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


