Dua maut dalam kemalangan Myvi, Vellfire di MRR2
AMPANG JAYA – Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan Toyota Vellfire di Kilometer 23, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Bukit Antarabangsa, di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asistan Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah malam apabila Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.
Menurutnya, kereta yang dipandu seorang lelaki itu dalam perjalanan dari Taman Melawati menghala ke Cheras sebelum bertembung dengan bahagian hadapan Toyota Vellfire berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Ampang.
“Pemandu Toyota Vellfire turut mengalami kecederaan sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ampang, manakala penumpangnya masih menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







