
Wanita terlibat kemalangan akibat pokok tumbang alami keguguran
KANGAR – Seorang wanita hamil yang terlibat dalam kemalangan motosikal akibat ditimpa pokok tumbang semasa ribut melanda di Kampung Padang Benta, Simpang Empat, di sini pagi tadi, disahkan mengalami keguguran.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar mendapati, Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18, yang menunggang Yamaha Y15 turut mengalami pendarahan dalam kepala pada kejadian itu.
“Selain itu, Nuraleya Syazreena turut patah tulang pinggang kiri dan kanan manakala kandungannya yang berusia berusia lima bulan disahkan meninggal dunia oleh doktor.
“Dia masih dirawat di wad kecemasan HTF bersama suaminya yang patah tulang peha kaki kanan,” katanya, hari ini.
Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, Nuraleya Syazreena menunggang motosikal berkenaan manakala suaminya, Muhammad Danish Hakim Hanizam, 18, membonceng.
“Kejadian pada pukul 3 pagi itu berlaku ketika pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang dari sebuah kedai makan di Sungai Baru, Simpang Empat menuju ke kediaman mereka di Kampung Sungai Bugis.
“Tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian, sebatang pokok tumbang menghempap motosikal dinaiki mereka,” katanya.
Kedua-dua mangsa dihantar ke HTF Kangar untuk rawatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








