
Meta, Tiktok perlu lebih proaktif pantau kandungan memudaratkan – MCMC
CYBERJAYA – Pengendali rangkaian media sosial, Meta dan TikTok telah diminta untuk meningkatkan usaha pemantauan susulan peningkatan kandungan yang memudaratkan dalam talian.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pengendali tersebut turut disyaratkan untuk menyediakan pelan penambahbaikan dan strategi dengan butiran menyeluruh bagi memenuhi usaha berkenaan.
“Bagi tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sejumlah 51,638 kes telah dipanjangkan kepada penyedia platform dalam talian untuk tindakan lanjut.
“Jumlah ini adalah tinggi berbanding 42,904 kes kandungan direkodkan sepanjang tahun lalu,” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Tambah MCMC, pengendali turut diminta menangani kandungan berkaitan 3R secara efektif dengan merujuk garis panduan platform dan undang-undang Malaysia.
“Ini merupakan usaha bersepadu MCMC bersama pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan bagi menangani penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti 3R (Race, Religion and Royalty).
“Selain itu, Meta dan Tiktok (turut) digesa untuk membendung kandungan kelakuan tidak sahih tersusun (Coordinated Inauthentic Behaviour), serta memantau dan mengambil tindakan segera ke atas kandungan memudaratkan seperti scam serta perjudian haram dalam talian,” kata MCMC lagi.
Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersama timbalannya, Teo Nie Ching dan wakil daripada MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Peguam Negara telah mengadakan pertemuan dengan wakil daripada Meta dan TikTok.
Pertemuan itu adalah bagi membincangkan mengenai pemantauan kandungan rangkaian masing-masing dengan lebih holistik dan proaktif.
Antara perkara lain yang turut dibincangkan termasuk penambahbaikan terhadap keselamatan dalam talian (online safety) khususnya melakukan pengesahan umur minimum 13 tahun untuk mengakses platform media sosial.
“Turut dibincangkan, melihat semula kecekapan algoritma yang memacu Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) dan keupayaan pembelajaran mesin bagi mengesan kandungan 3R, kelakuan tidak sahih tersusun (Coordinated Inauthentic Behaviour) atau sebarang kandungan memudaratkan,” kata MCMC lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














