Cubaan sebar video hasutan, TH buat laporan polis, MCMC
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan video berunsur hasutan dan fitnah melibatkan institusi itu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mustakim Mohamad berkata, susulan penyebaran beberapa kandungan sedemikian di media sosial, TH telah membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut Mustakim, hantaran video dengan provokasi dan tuduhan melulu khususnya berkaitan inisiatif penjenamaan dan tadbir urus TH itu berpotensi menimbulkan kekeliruan masyarakat.
“Individu atau pemilik akaun media sosial yang terlibat dengan penyebaran kandungan berunsur hasutan akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
“TH akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, TH ditubuhkan dengan niat utama untuk umat Islam Malaysia menabung bagi tujuan haji.
“Namun kebelakangan ini, ia lebih dikenali sebagai penyedia perkhidmatan haji sedangkan kos ibadat kian meningkat tetapi kadar simpanan pendeposit tidak berkembang.
“Justeru, TH kini sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan kedudukannya sebagai institusi simpanan Islam pilihan, agar umat Islam kekal menabung secara sistematik dan konsisten.
“Bagi mencapai matlamat ini, kepakaran teknikal diperlukan, sepertimana diamalkan dalam sejarah Islam,” katanya.
Beliau menegaskan pengurusan serta urusan ibadat haji tetap dikendalikan oleh pasukan pengurusan 100 peratus bumiputera Muslim, manakala sokongan teknikal melibatkan konsortium yang dibentuk bagi menjayakan pelan penjenamaan yang lebih kompleks.
Pada masa sama, TH menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai maklumat yang tidak diketahui sumbernya dan hanya merujuk kepada saluran rasmi TH bagi mendapatkan informasi sahih.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








