BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC disaran selaras pelaksanaan perayauan ASEAN bersama Timor-Leste

DILI (TIMOR-LESTE) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) disaran mengadakan rundingan segera dengan syarikat telekomunikasi bagi menyelaras pelaksanaan kemudahan perayauan ASEAN yang bakal mengukuhkan keterhubungan digital serantau.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan menerusi kerjasama Malaysia dan Timor-Leste menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.

“Banyak syarikat telekomunikasi mempunyai pelan perayauan masing-masing, tetapi kita mahu wujudkan perayauan ASEAN yang lebih menyeluruh.

“Dengan ini, pelancong Malaysia ke Dili boleh menikmati akses internet lebih mudah dan berpatutan,” katanya memetik laporan BERNAMA.

Fahmi berkata demikian selepas menghadiri sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, semalam.

Beliau berkata, pengalaman Malaysia melaksanakan rangkaian 5G dengan pantas, liputan meluas dan harga berpatutan boleh dikongsi dengan Timor-Leste, khususnya bagi memperkukuh infrastruktur telekomunikasi.

Menurutnya, kira-kira 15 peratus daripada 1.4 juta penduduk Timor-Leste memiliki telefon bimbit, sekali gus menunjukkan potensi kerjasama yang luas dalam bidang digital.

Selain itu, Fahmi mengesyorkan Bernama, RTM dan MCMC menjalin kerjasama bersama agensi seumpamanya di Timor-Leste termasuk menjemput wartawan negara itu mengikuti kursus di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

“Langkah ini akan membantu meningkatkan profesionalisme kewartawanan, memperkukuh kapasiti media dan pendedahan kepada teknologi baharu,” katanya.

Fahmi berkata, lawatan rasmi dua hari Anwar ke Timor-Leste yang berakhir semalam amat signifikan kerana ia merupakan lawatan pertama Perdana Menteri Malaysia selepas 22 tahun dan berlangsung hanya beberapa minggu sebelum negara itu diterima sebagai anggota ASEAN ke-11.

“Detik bersejarah ini bakal menyaksikan penyertaan Timor-Leste secara rasmi ke dalam ASEAN ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ke-47, sesuatu yang amat bermakna bagi hubungan dua hala dan rantau ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button