DNS: MCMC adakan sesi libat urus, jawab kekeliruan masyarakat
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menganjurkan satu program libat urus bersama syarikat-syarikat teknologi bagi membincangkan isu yang berkaitan dengan pengalihan Domain Name System (DNS).
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, sesi libat urus itu bertujuan memberikan gambaran yang lebih jelas dan membetulkan persepsi masyarakat mengenai isu DNS.
Pada masa sama, sesi itu juga untuk mendapatkan input dan pandangan daripada pihak berkepentingan termasuk pakar bagi memastikan pendekatan alternatif dalam menangani isu kandungan memudaratkan.
“Sesi libat urus berkenaan telah dikendalikan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC, Datuk Ts. Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen; Ketua Kaunsel Perundangan MCMC, LS. Leonard; Ketua Bahagian Pengurusan Keselamatan Rangkaian dan Maklumat MCMC, Syed Mokhsien Syed Mansor dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Teknologi Responsif dari Cybersecurity Malaysia, Ts. Mohd Zabri Adil Talib, dihadiri oleh wakil-wakil syarikat teknologi serta daripada pihak industri,” katanya hari ini.
Dalam pada itu katanya, pada sesi libat urus tersebut, perkara yang dibincangkan melibatkan pengurusan DNS dan usaha oleh MCMC dalam memerangi kandungan memudaratkan menerusi kempen advokasi dan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan.
Katanya, program itu diteruskan dengan sesi soal jawab interaktif dan para peserta berkongsi pandangan dan cadangan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani isu pengalihan DNS secara proaktif dan bertanggungjawab.
“Para peserta yang hadir menyifatkan sesi libat urusan anjuran MCMC sebagai
tepat pada masanya dan merupakan wadah terbaik bagi menjawab segala kekeliruan atau ketidakfahaman mereka mengenai isu DNS.
“Penolong Naib Presiden, Bahagian Digital dan Teknologi, Pejabat Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Muhammad Zainul Arifin Zainuddin menyifatkan penganjuran sesi libat urus ini sebagai satu inisiatif yang ikhlas dan permulaan yang baik.
“Dalam pada itu, pengasas Ascendant Enterprise, Victor Tan berpandangan sesi libat urus berhubung isu DNS perlulah lebih meluas dan tidak terhad kepada kumpulan-kumpulan tertentu sahaja,” katanya.
Sementara itu katanya, MCMC berharap isu-isu kritikal seperti pengalihan DNS dapat difahami dengan lebih baik dan langkah-langkah konkrit dapat diambil untuk melindungi kepentingan pengguna Internet di Malaysia.
“Untuk itu, MCMC akan terus mengadakan sesi libat urus bersama dengan pihak berkepentingan lain dari semasa ke semasa berhubung isu DNS ini,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







