MCMC, Huawei lahir 176 pemimpin digital negara menerusi program Digital Leadership Excellence
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd terus memperkukuh agenda transformasi digital negara menerusi Program Digital Leadership Excellence (DLE) yang setakat ini berjaya melahirkan 176 pemimpin digital daripada sektor kerajaan, akademia dan industri.
Terbaharu, seramai 126 graduan daripada kohort kedua dan ketiga diraikan hari ini selepas menamatkan program pembelajaran hibrid intensif selama empat bulan sepanjang tahun lalu yang mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkasa kepimpinan digital masa depan.
Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali berkata, program berkenaan merupakan inisiatif strategik yang dibangunkan bagi memperkukuh keupayaan kepimpinan digital merentas pelbagai sektor dalam mendepani transformasi teknologi negara.

Menurut beliau, program itu yang dilancarkan pada Mac 2024 melalui kerjasama strategik tiga tahun bersama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, diwujudkan sebagai respons kepada aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Malaysia ICT Summit 2023 untuk merapatkan jurang digital dan mempercepat penerimagunaan teknologi di Malaysia.
“Program ini menyasarkan untuk melahirkan 300 pemimpin digital menjelang tahun 2026 dengan melengkapkan peserta dengan kemahiran teknologi dan keupayaan perniagaan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang mampan dan inklusif.
“Melalui usaha ini, DLE berperanan memperkukuh bakat digital negara serta mempersiapkan peserta untuk menerajui transformasi Malaysia dalam bidang utama seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), data raya, teknologi hijau dan keselamatan siber,” katanya ketika berucap pada majlis graduasi program itu, di sini hari ini.
Majlis graduasi berkenaan menyaksikan para peserta menerima skrol masing-masing daripada Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun.
Abdul Karim berkata, kejayaan program tersebut tidak mungkin direalisasikan tanpa kerjasama erat antara sektor awam dan swasta yang disifatkannya sebagai pemangkin penting kepada pembangunan teknologi dan pengukuhan ekosistem digital negara.
Katanya, peserta program turut didedahkan dengan pengalaman antarabangsa menerusi lawatan pembelajaran ke pusat penyelidikan dan pembangunan Huawei di China bagi memahami inovasi teknologi, strategi serta amalan terbaik global.
“Pendedahan ini memberi peserta pemahaman mendalam mengenai teknologi baharu dan membantu menyelaraskan usaha transformasi digital dengan keutamaan organisasi serta agenda nasional,” katanya.
Beliau berkata, kohort keempat kini sedang berlangsung manakala kohort kelima dijangka bermula Julai ini dalam usaha mencapai sasaran melahirkan 300 pemimpin digital menjelang tahun depan.
Dalam pada itu, Simon Sun berkata, transformasi digital memerlukan pemimpin yang bukan sekadar memahami teknologi, tetapi mampu melihat bagaimana teknologi boleh menyelesaikan masalah sebenar dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
“Pada asasnya, transformasi digital memerlukan pemimpin yang mampu melihat melangkaui teknologi dan memberi tumpuan kepada bagaimana teknologi boleh menyelesaikan masalah sebenar.

“Selain itu, ia juga dapat memperkukuh organisasi atau institusi serta meningkatkan kehidupan masyarakat. Itulah tujuan Program Digital Leadership Excellence,” katanya.
Program tersebut memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan secara praktikal melalui kerjasama dan pendedahan terhadap teknologi baharu termasuk 5G, AI, pengkomputeran awan, data raya, teknologi hijau dan keselamatan siber.
Sementara itu, graduan program yang juga Ketua Seni Bina Maklumat dan Aplikasi Tenaga Nasional Berhad, Mohd Saiful Nizam Rahimi menyifatkan DLE sebagai peluang berharga untuk bertukar idea bersama pemain industri dan pakar teknologi global.
“Perbincangan dan kajian kes yang dikongsikan memberi inspirasi kepada saya untuk berfikir secara lebih strategik tentang bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan bagi membawa impak bermakna kepada organisasi dan ekosistem,” katanya.
Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia, Dr Norilmi Amilia pula berkata, program itu membuktikan bahawa kepimpinan digital sebenar bermula melalui kerjasama pelbagai pihak.
Turut berkongsi pengalaman ialah Pengarah dan Ketua Pakar Sektor Telekomunikasi, Media dan Teknologi Serantau di CIMB Investment Bank, Danny Chan Tzu Zhung yang menyifatkan DLE sebagai satu gerakan yang menyatukan pelbagai sektor untuk memperkasa masyarakat menerusi teknologi.
Selain latihan kepimpinan, peserta turut menyiapkan projek capstone yang memberi tumpuan kepada isu nasional seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pembangunan bakat, keselamatan kewangan, pertanian dan keterangkuman sosial.
Kerjasama berterusan antara MCMC dan Huawei Malaysia menerusi Program DLE mencerminkan komitmen bersama dalam melahirkan pemimpin masa depan yang bersedia menghadapi cabaran serta menyokong agenda transformasi digital jangka panjang negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








