Penipuan online: MCMC perkukuh kerjasama tangani salah guna platform digital, saluran komunikasi
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Global Anti Scam Alliance (GASA) bagi memperluas kerjasama antarabangsa dalam usaha memerangi penipuan dalam talian.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, selain itu, ia juga memberi fokus kepada perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik, pembangunan kapasiti, advokasi serta pemerkasaan kesedaran awam berkaitan ancaman digital.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman penipuan dalam talian serta menyokong usaha kerajaan membina ekosistem digital yang lebih selamat, dipercayai dan berdaya tahan,” katanya hari ini.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyaksikan pertukaran MoU itu antara MCMC yang diwakili Pengarah Urusannya, Abdul Karim Fakir Ali dengan GASA yang diwakili Penasihat (Asia Tenggara), Rajeshpal Singh Sandhu.
Pemeteraian MoU itu diadakan sempena majlis penutupan Inter Agency Retreat on Combating Online Scam 2026 di sini hari ini.
Menurut MCMC, permukiman selama tiga hari bermula 22 Mei itu merupakan anjuran MCMC dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM), bertujuan untuk memperkukuh usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian.
“Program itu turut disertai pelbagai agensi dan pihak berkepentingan utama termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Cyber Security Malaysia (CSM), syarikat telekomunikasi, institusi kewangan, penyedia platform digital dan badan kawal selia serta pemain industri.
“Antara pengisian sepanjang permukiman ini termasuk meningkatkan kerjasama perkongsian maklumat serta memperkemas tindakan bersepadu dalam menangani ancaman penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan merentas pelbagai platform digital,” katanya.
Selain itu katanya, pelbagai isu turut dibincangkan termasuk trend dan modus operandi semasa, cabaran penguatkuasaan dan perundangan, penggunaan analitik data serta usaha memperkukuh kesedaran awam secara berterusan.
Pada masa sama katanya, fokus turut diberikan kepada pengukuhan kerjasama antara agensi dan industri bagi menangani penyalahgunaan saluran komunikasi dan platform digital seperti panggilan dan SMS penipuan, pautan memudaratkan, penyalahgunaan nombor telefon, akaun bank keldai, penipuan pelaburan serta tawaran pinjaman tidak wujud.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








