BERITA SEMASA

MCMC pantau rapi perkhidmatan telco di Putra Heights

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau rapi dan bekerjasama dengan syarikat penyedia perkhidmatan (Telco) bagi memastikan kualiti perkhidmatan komunikasi di sekitar Putra Heights kekal pada tahap terbaik.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata, kebakaran saluran gas yang berlaku pada 1 April 2025 lalu itu telah menjejaskan sembilan struktur telekomunikasi di sekitar kawasan kejadian iaitu enam milik UMobile, dua milik Maxis dan satu milik CelcomDigi.

putra heights
Struktur sementara yang dipasang di luar PPS Masjid Putra Heights bagi meningkatkan
kualiti liputan. – GAMBAR IHSAN MCMC

“Semua struktur berkenaan mengalami gangguan bekalan elektrik.

“Hasil tindakan pemulihan segera oleh telco, semua perkhidmatan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada hari yang sama,” kata MCMC dalam kenyataan tersebut.

Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Internet kepada para petugas dan mangsa yang berlindung di PPS Masjid Putra Heights sentiasa di tahap terbaik, pihak Telco turut mengambil langkah segera dengan mengoptimumkan struktur sedia ada untuk memenuhi peningkatan keperluan perkhidmatan.

“Sebuah unit MCV (Mobile Cellular Vehicle) turut digerakkan ke lokasi bagi meningkatkan lagi kualiti liputan di kawasan berkenaan.

“Pada masa yang sama, Telekom Malaysia (TM) telah menyediakan kemudahan WiFi percuma di dua lokasi PPS sebagai langkah tambahan,” kata MCMC lagi.

Tambah MCMC, pihak Telco juga giat berhubung dengan pelanggan masing-masing bagi menawarkan bantuan seperti penggantian kad SIM dan peranti yang rosak, penyelarasan bil serta membuka kaunter perkhidmatan khas di lokasi PPS untuk memudahkan urusan mereka.

“MCMC akan terus memantau secara rapi dan bekerjasama dengan semua pihak terlibat bagi memastikan kualiti perkhidmatan komunikasi kekal pada tahap terbaik khususnya kepada mangsa yang berlindung di PPS,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button