Data telefon bimbit dikumpul bagi tujuan statistik, dasar – MCMC
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menegaskan pengumpulan data melalui projek Mobile Phone Data (MPD) bertujuan untuk penyediaan statistik dan perumusan dasar tanpa menjejaskan privasi pengguna.
Dalam satu kenyataan rasmi, MCMC menjelaskan projek itu bertujuan menghasilkan statistik terperinci mengenai langganan jalur lebar mudah alih dan kadar penembusan di pelbagai peringkat pentadbiran.
Selain itu, data yang dikumpulkan turut digunakan untuk menjana indikator pelancongan seperti bilangan pelawat dan corak perjalanan domestik.

“Data yang diperoleh telah dianonimkan sepenuhnya. Dalam kata lain tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti (Personally Identifiable Information – PII),” tegas MCMC.
Bagi memastikan keselamatan dan privasi data, syarikat telekomunikasi diberi dua pilihan dalam proses penyerahan data iaitu sama ada memproses data secara dalaman dan hanya menyerahkan output yang telah dianonimkan kepada MCMC atau menyerahkan data yang telah dianonimkan untuk diproses oleh pihak MCMC sendiri.
Dalam kedua-dua kaedah, tiada maklumat individu yang dapat dikenal pasti.
BACA : Keperluan data tidak semestinya tindakan pencerobohan peribadi
Menurut MCMC, projek itu telah melalui sesi libat urus selama dua tahun bersama semua syarikat telekomunikasi bagi memastikan pemahaman bersama berkenaan keperluan data, proses pengumpulan, serta langkah perlindungan privasi.
“MPD sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa dan pendekatan serupa telah dilaksanakan di negara lain termasuk Indonesia dan Brazil,” tambah kenyataan itu.
MCMC turut menolak dakwaan bahawa kerajaan mengumpul data peribadi rakyat secara diam-diam, dengan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan tidak selari dengan fakta sebenar.
“Projek ini adalah inisiatif untuk memperkukuh kualiti statistik nasional dan menyokong dasar berasaskan bukti, bukan untuk mengintip atau menceroboh privasi rakyat,” jelasnya.
MCMC turut menyeru orang ramai agar menilai sesuatu maklumat berdasarkan fakta yang sahih dan bukti yang jelas serta tidak terpengaruh dengan retorik atau spekulasi yang boleh mengelirukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








