Individu dikait dengan hantaran hina Sultan Selangor nafi muat naik kandungan
PUTRAJAYA – Individu dikaitkan dengan hantaran tular melibatkan penyuntingan gambar Sultan Selangor yang dipercayai mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja menafikan dirinya sebagai pihak yang memuat naik kandungan berkenaan.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, individu terbabit telah dirakam percakapan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, susulan penafian tersebut, pihak berkuasa kini tidak menolak kemungkinan wujudnya akaun palsu atau fake account yang digunakan untuk menyebarkan kandungan sensitif berkenaan.
“Pada masa ini, MCMC sedang bekerjasama dengan pihak Meta dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan analisis forensik untuk mengesahkan beberapa perkara yang dibangkitkan dalam penafian individu tersebut.
“Antara perkara yang sedang diteliti ialah sama ada wujud elemen akaun palsu atau agent provocateur yang sengaja mewujudkan akaun palsu untuk memuat naik kandungan sensitif sebelum memangsakan pihak lain,” katanya dalam sidang media mingguan hari ini.
Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja boleh mencetuskan kemarahan awam, malah berpotensi menimbulkan ketegangan berkaitan isu 3R melibatkan kaum, agama dan institusi diraja.
Fahmi berkata, siasatan masih berjalan dan kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM serta MCMC untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















