Angka korban gempa Colombia cecah 254 orang, lebih 2,700 masih hilang
BOGOTA – Angka korban gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud yang melanda barat Colombia pada Isnin meningkat kepada sekurang-kurangnya 254 orang manakala lebih 2,700 dilaporkan masih hilang.
Pasukan penyelamat kini bertungkus-lumus mencari mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, khususnya di kawasan terjejas teruk di wilayah Risaralda dan sekitarnya.
Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari kedua diteruskan dengan menggunakan jentera berat selain kaedah menggali menggunakan tangan bagi mengesan mangsa yang masih hidup.
Gempa bumi yang dikesan berpusat di San José del Palmar, wilayah Chocó, pada kedalaman kira-kira 100 kilometer itu turut dirasai di sebahagian besar Colombia, termasuk Cali, Pereira, Manizales dan Bogotá.
Gegaran turut dirasai di negara jiran seperti Ecuador dan Panama.
Menurut laporan berita antarabangsa, lebih 5,000 kediaman rosak, manakala berpuluh bangunan dan kemudahan awam mengalami kerosakan serius.
Bencana turut menyaksikan beberapa lapangan terbang ditutup, manakala bekalan elektrik, air dan komunikasi terputus di beberapa kawasan.
Pihak berkuasa Colombia mengisytiharkan darurat bagi mempercepatkan usaha menyelamat serta penyaluran bantuan kepada penduduk yang terjejas.
Gempa berukuran 7.4 magnitud itu disifatkan antara yang paling dahsyat melanda Colombia dalam tempoh beberapa dekad, dengan kemusnahan paling ketara dilaporkan di bahagian barat negara tersebut.
Pihak berkuasa memberi amaran angka korban berkemungkinan terus meningkat. – AGENSI
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








