BERITA SEMASA

Program Korban Al-Falah YAPEIM manfaatkan lebih 60,000 penerima

KUALA LUMPUR – Sebanyak 145 ekor lembu telah dikorbankan menerusi Program Korban Al-Falah anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) yang memberi manfaat kepada lebih 60,000 penerima di 126 lokasi seluruh negara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, program berkenaan yang berlangsung selama tiga hari hingga semalam berjaya menghasilkan lebih 12,000 kilogram daging korban yang diagihkan kepada golongan asnaf, guru-guru agama serta kumpulan B40.

“Kejayaan ini mencerminkan nilai-nilai ihsan, kebersamaan dan kasih sayang yang menjadi teras gagasan Malaysia MADANI. Ia turut memperkukuh agenda memperkasa kebajikan ummah melalui jaringan kerjasama strategik dan pelaksanaan program yang inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Na’im turut merakamkan penghargaan kepada YAPEIM serta para sukarelawan yang menjayakan program berkenaan dengan penuh komitmen dan amanah.

“Ayuh, kita teruskan menyumbang dan menyokong inisiatif seperti ini. Setiap ringgit dan setiap pengorbanan anda adalah cahaya harapan buat mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar segala amal jariah dan pengorbanan itu diterima serta diberkati oleh Allah SWT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button