BERITA SEMASA

Talian khas tangani aduan penghinaan terhadap Islam mula beroperasi hari ini

PUTRAJAYA – Satu talian khas 24 jam bagi menerima aduan berkaitan penghinaan terhadap agama Islam terutamanya di laman media sosial mula beroperasi hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, talian aduan khas itu ialah 017-3234533 (WhatsApp) dan emel, aduan@islam.gov.my.

Beliau berkata, talian aduan khas itu dikendalikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata, setiap aduan yang diterima akan ditapis terlebih dahulu oleh sebuah jawatankuasa teknikal yang diketuai JAKIM bagi memastikan kesahihan setiap aduan yang dikemukakan.

Katanya, sekiranya aduan itu membabitkan kesalahan jenayah syariah ia akan disalurkan dan dirujuk kepada jabatan agama negeri berkenaan.

“Jika membabitkan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan termasuk mengganggu ketenteraman awam aduan akan disalurkan kepada pihak polis.

“Kita juga bekerjasama dengan MCMC bagi menurunkan kandungan daripada media sosial terutama membabitkan kandungan yang menggugat ketenteraman awam.

“Kita mahu setiap aduan yang diterima itu ditangani secepat mungkin bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan bulanan agensi-agensi agama di bawah JPM, di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) secara konsisten memberikan penegasan akan sentiasa memelihara kesucian serta ketinggian agama Islam di negara ini.

“Mana-mana pihak yang didapati melakukan tindakan menghina Islam perlu di bawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

Beliau juga berkata, orang ramai boleh membuat aduan serta laporan berkaitan apa-apa isu penghinaan kepada agama Islam menerusi talian khas berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button