BERITA SEMASAAGAMA

Menteri Agama nafi RUU Mufti dipengaruhi pihak tertentu, digubal secara tergesa-gesa

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan dakwaan yang mengatakan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024) digubal secara tergesa-gesa dan dipengaruhi oleh pihak tertentu.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, penggubalan RUU Mufti adalah usaha yang diambil oleh Kerajaan bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan institusi Mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“Menerusi pemerkasaan ini, bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MMohd Na’im sebelum ini menyeru semua pihak agar tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam diakibatkan tafsiran yang salah terhadap RUU Mufti kerana ia akan menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara ini.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata,
satu Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) telah ditubuhkan pada tahun 2021 bagi mengkaji dan menggubal suatu Akta yang khusus untuk Mufti.

Jelasnya, jawatankuasa itu dianggotai oleh wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, JAKIM, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.

“RUU Mufti telah melalui suatu proses penggubalan yang teliti dan panjang bagi memastikan suatu RUU yang komprehensif digubal serta teratur dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sehubungan dengan itu, semua pihak dinasihatkan untuk berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang tidak bersandarkan fakta kerana ia boleh mencetuskan polemik terhadap usaha murni ini,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button