BERITA SEMASA

Hampir 100,000 kandungan berunsur penipuan diturunkan setakat 15 Julai

JOHOR BAHRU – Sebanyak 99,693 kandungan media sosial berunsur penipuan termasuk scam diturunkan setakat 15 Julai tahun ini, melebihi jumlah 98,503 kandungan yang diturunkan sepanjang 2025.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, jumlah permohonan bagi menurunkan kandungan berkenaan yang dihantar kepada platform media sosial seperti Meta, TikTok dan YouTube pula adalah sebanyak 106,268 dalam tempoh sama, berbanding hanya 102,113 permohonan sepanjang tahun lepas, lapor BERNAMA.

“Memang ada sedikit perbezaan kerana walaupun permohonan itu dihantar oleh MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), platform masih mempunyai kuasa mutlak untuk menurunkan atau sebaliknya kandungan berkenaan.

“Namun, untuk kes scam kadar pematuhan (platform) biasanya melebihi 90 peratus,” katanya kepada pemberita selepas Program MADANI Kita (PMK) 2026 Negeri Johor di Dewan Raya Taman Desa Skudai, hari ini.

Sementara itu, sempena bulan kemerdekaan, Nie Ching mengingatkan masyarakat supaya memastikan Jalur Gemilang dikibarkan mengikut tatacara betul kerana bendera kebangsaan merupakan simbol penting negara.

Beliau berkata, Jabatan Penerangan (JaPEN) turut melaksanakan kempen ‘1Rumah 1Jalur Gemilang’ sepanjang Bulan Kebangsaan dari Ogos hingga September bagi menggalakkan rakyat mengibarkan bendera negara.

Katanya, ia sebagai usaha membantu mengingatkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul.

“… kami menerima banyak aduan bahawa tindakan yang diambil sama ada oleh pihak berkuasa tempatan atau polis tidak sama apabila melibatkan lokasi berbeza.

“Saya rasa itu juga merupakan satu isu yang kita perlu beri perhatian kerana kami tidak mahu wujudkan ketakutan dalam kalangan orang awam untuk mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button