Pesara rugi lebih RM1 juta terjerat pelaburan saham palsu
GEORGETOWN – Akibat terpedaya menyertai skim pelaburan saham atas talian, seorang pesara kerajaan mengalami kerugian lebih RM1 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, lelaki berusia 67 tahun itu diperdaya menerusi platform media sosial sejak Oktober lalu.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan baru-baru ini sebelum membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, kelmarin.
“Siasatan awal mendapati mangsa diperdaya oleh seorang wanita yang dikenalinya melalui laman Facebook pada penghujung Ogos 2025.
“Suspek menawarkan satu pelaburan saham dikenali sebagai DAC Pro atas nama syarikat Navis Management Sdn. Bhd. dan mengarahkan mangsa berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 200 peratus dalam tempoh singkat, menyebabkan mangsa berminat untuk menyertai pelaburan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azizee berkata, mangsa diminta memuat turun aplikasi DAC Pro bagi tujuan pendaftaran keahlian dan membuat pelaburan, sebelum melakukan 22 transaksi pembayaran berjumlah RM760,200 ke dalam enam akaun bank berbeza yang diberikan suspek dari 8 Oktober hingga 10 Disember 2025.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, mangsa dijanjikan keuntungan pelaburan sebanyak RM7,488,492 namun tidak pernah menerima sebarang pulangan wang sebenar.
“Apabila mangsa ingin mengeluarkan keuntungan tersebut, dia diminta membuat bayaran pendahuluan sebanyak tiga peratus daripada jumlah keuntungan sebagai syarat pengeluaran.
“Dalam tempoh 18 hingga 24 Disember 2025, mangsa sekali lagi membuat enam transaksi kemasukan wang berjumlah RM242,200 ke dalam satu akaun bank yang diberikan suspek,” katanya.
Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan dan terus diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan cukai serta bayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam pada itu, Azizee menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan, khususnya yang ditawarkan secara dalam talian dan melalui media sosial.
“Semakan perlu dibuat terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan entiti atau individu terbabit mempunyai kebenaran sah untuk menawarkan produk pelaburan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan penipuan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














