BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Suspek kes pukul pemuda di Pasir Gudang ditahan

PASIR GUDANG – Lapan termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kes pukul seorang pemuda sehingga longlai di kawasan pangsapuri di Plentong Baru Masai, di sini, ditahan polis, semalam.

Lima daripada suspek yang ditahan didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala empat lagi didapati positif ujian air kencing.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek yang berusia antara 19 hingga 26 tahun itu ditahan pada pukul 2.30 pagi semalam di kawasan kejadian.

“Semua suspek direman enam hari sehingga Sabtu ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

“Lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan berkaitan jenayah dan dadah.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya melalui kenyataan.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam Jumaat lalu yang turut tular di media sosial itu, mangsa berusia 21 tahun dipukul sekumpulan lelaki selepas berkunjung ke rumah seorang wanita yang juga salah seorang daripada suspek ditahan.

Video turut memaparkan seorang daripada mereka menumbuk dan menendang alat sulit mangsa.

Mohd Sohaimi berkata, siasatan mendapati mangsa pergi ke pangsapuri terbabit atas jemputan seorang wanita yang dikenali menerusi aplikasi media sosial.

Sebaik tiba, mangsa dikurung dan dipukul beberapa lelaki sehingga luka pada bibir, telinga dan bengkak pada bahagian badan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button