Suri rumah lesap RM60,000 diperdaya ‘sindiket halau roh jahat’
SIBU– Seorang suri rumah berusia 70 tahun kerugian wang tunai dan barang kemas bernilai RM60,794 selepas menjadi mangsa penipuan sekumpulan wanita yang mendakwa mampu menghalau roh jahat melalui upacara tradisional.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial menerima laporan daripada mangsa yang diperdaya sehingga menyerahkan semua simpanannya.
Kejadian berlaku semalam itu didakwa berlaku apabila mangsa didatangi seorang wanita tidak dikenali di kawasan Pasar Sibu yang memintanya menunjuk arah ke sebuah kedai ubat tradisional Cina.
“Berdasarkan loghat pertuturannya, suspek dipercayai warga China. Tidak lama kemudian, seorang lagi wanita turut muncul bertanyakan lokasi bagi mengadakan ritual doa menghalau roh jahat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudiannya dipujuk ke kawasan tempat letak kereta berhampiran sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan yang turut menempatkan tiga wanita lain.
“Di dalam kereta, suspek memberitahu mangsa bahawa dirinya ‘dihinggapi’ roh jahat yang boleh membawa malapetaka kepada keluarga jika tidak dibuang melalui upacara khas,” jelasnya.
Takut dengan ugutan itu, mangsa menyerahkan wang tunai serta barang kemas berjumlah RM60,794 kononnya sebagai syarat ritual berkenaan.
Selepas upacara dijalankan, mangsa diberikan bungkusan plastik hitam yang diarahkan hanya dibuka selepas seminggu. Namun apabila dibuka oleh anak mangsa, ia hanya berisi mi segera, sekilogram garam dan empat botol air mineral.
Menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, ACP Zulkipli menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran rawatan tradisional, upacara atau perkhidmatan menghalau roh jahat oleh individu tidak dikenali.
“Jangan mudah terpengaruh dengan ugutan atau janji yang bermain dengan ketakutan dan keresahan sehingga akhirnya menjadi mangsa penipuan,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








