BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC, LLM jalin kerjasama strategik perkukuh liputan internet di lebuh raya

CYBERJAYA – Kerajaan akan memperkukuh liputan internet di sepanjang lebuh raya menerusi kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi memastikan rakyat menikmati capaian komunikasi yang lebih stabil, selamat dan berterusan ketika dalam perjalanan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dalam era digital hari ini, rakyat bukan sahaja mengharapkan lebuh raya yang selamat dan lancar, malah memerlukan ketersambungan komunikasi yang berterusan untuk pelbagai urusan harian.

“Sama ada untuk menggunakan aplikasi navigasi, mendapatkan maklumat trafik secara masa nyata, membuat pembayaran digital, berhubung dengan keluarga, menjalankan urusan perniagaan mahupun mendapatkan bantuan ketika kecemasan, capaian komunikasi yang stabil kini menjadi satu keperluan asas dalam perjalanan moden,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan LLM di Menara MCMC, di sini hari ini.

mcmc
Fahmi dan Alexander menyaksikan pertukaran MoU antara MCMC dan LLM pada majlis tersebut.

Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha kedua-dua kementerian.

Majlis pertukaran MoU itu disempurnakan oleh Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi LLM, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Fahmi berkata, usaha memperkukuh liputan komunikasi di lebuh raya bukan sekadar projek telekomunikasi, sebaliknya merupakan pelaburan strategik yang mampu menyokong keselamatan awam, meningkatkan produktiviti ekonomi serta mempercepat transformasi digital negara.

“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan komitmen kerajaan untuk memastikan manfaat pendigitalan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat, kerjasama antara MCMC dan LLM ini mengangkat semangat ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’,” katanya.

Menurut Fahmi, kerjasama itu akan memastikan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih selamat melalui akses yang lebih baik kepada komunikasi kecemasan, aplikasi navigasi dan maklumat trafik secara masa nyata, selain menyokong pertumbuhan ekonomi serta sektor logistik yang semakin bergantung kepada data dan ketersambungan digital.

“Kerjasama ini turut memperkukuh asas digital bagi menyokong pembangunan teknologi mobiliti masa hadapan termasuk sistem pengangkutan pintar, pelaksanaan sistem Multi-Lane Fast Flow (MLFF) dan pelbagai inisiatif mobiliti pintar yang memerlukan infrastruktur komunikasi yang kukuh, berdaya tahan serta boleh dipercayai,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kerjasama itu diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, MCMC dan LLM akan menubuhkan Pasukan Petugas Bersama yang berperanan menyelaras pelaksanaan projek, mengenal pasti kawasan keutamaan serta menangani cabaran pelaksanaan dengan lebih pantas dan berkesan.

Tambahnya, MCMC juga telah memulakan langkah pelaksanaan melalui pelawaan yang dikeluarkan pada 15 Mei lalu bagi menambah baik liputan internet di beberapa lebuh raya utama yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), West Coast Expressway (WCE) dan Lebuhraya Pan Borneo.

“Saya yakin bahawa melalui komitmen, kepakaran dan semangat kolaborasi semua pihak, kita bukan sahaja akan menambah baik liputan komunikasi di sepanjang lebuh raya negara, malah membina asas yang lebih kukuh untuk memperkasa ekosistem mobiliti pintar, mempercepat pertumbuhan ekonomi digital dan mewujudkan kehidupan yang lebih terhubung untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut berharap Kementerian Kerja Raya dapat mempertimbangkan mekanisme kelulusan khas bagi projek berskala besar berkenaan supaya pelaksanaannya dapat dipercepatkan.

“Langkah yang diambil pada hari ini bukan sekadar memeterai kerjasama antara dua agensi, tetapi mencerminkan keyakinan bahawa pembangunan negara pada masa hadapan memerlukan infrastruktur fizikal dan digital yang dirancang, dibangunkan serta diurus secara seiring dan saling melengkapi.

“Kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui panjang lebuh raya yang dibina atau jumlah menara telekomunikasi yang didirikan, tetapi apabila setiap rakyat dapat menikmati perjalanan yang lebih selamat, kekal berhubung tanpa gangguan serta mempunyai akses kepada perkhidmatan digital di mana sahaja mereka berada,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button