BERITA SEMASA

Kos internet berpatutan bantu keterangkuman digital Orang Asli

SEPANG – Usaha kerajaan menyediakan kemudahan internet jalur lebar tanpa wayar (BWA) ke penempatan Orang Asli pastinya menjadi satu ‘rahmat’ dan kelegaan besar kepada komuniti itu, namun kos langganan perkhidmatan dibimbangi menjadi cabaran untuk mereka menggunakan perkhidmatan itu.

Dr. Hamidah Md. Yusop

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Siswazah Perniagaan Arshad Ayub, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr. Hamidah Md. Yusop berkata, hasil kajian di tujuh kampung melibatkan 189 responden di Johor, Kelantan, Perak dan Pahang mendapati rata-rata masyarakat berpuas hati dengan kemudahan internet sejak ia mula diperkenalkan pada September 2022.

“Secara keseluruhannya, mereka gembira kerana sebelum ini tiada langsung akses internet. Dan tentunya kemudahan yang disediakan itu akan membawa banyak perubahan dalam kehidupan seharian mereka.

“Namun, cabaran utama ketika ini adalah soal keupayaan untuk mereka menanggung kos pelan langganan apabila menara telekomunikasi yang dipasang sedia beroperasi. Tambahan kos sara hidup ini menjadi cabaran utama buat masa ini dalam mencapai keterangkuman digital.

“Namun kita berharap segala kemudahan yang tersedia itu nanti akan membawa kelebihan manfaat yang dapat mengatasi kos mereka, misalnya melalui perniagaan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja pada Simposium Penyelidikan MCMC 2025 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Hotel Sama-Sama, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr. Hamidah berkata, kerajaan bersama penyedia telekomunikasi perlu merangka skim khas atau insentif kewangan agar komuniti berpendapatan rendah, khususnya Orang Asli, tidak terpinggir daripada arus digital.

“Kalau kos terlalu tinggi, internet akan kekal menjadi satu bentuk jurang antara bandar dan luar bandar,” katanya.

Selain kos, beliau berkata, tahap literasi digital yang rendah juga menyukarkan Orang Asli untuk memanfaatkan internet bagi tujuan produktif.

“Misalnya, ada keluarga di Johor yang berjaya menjual hasil hutan secara dalam talian, tetapi bilangannya amat kecil. Jadi kerajaan boleh menyalurkan micro grant dengan pemantauan rapi untuk membantu mereka yang mempunyai potensi berniaga,” jelasnya.

Dr. Hamidah juga mencadangkan pelantikan ‘digital champion’ di setiap kampung Orang Asli bagi melatih komuniti menggunakan internet untuk pendidikan atau perniagaan.

Katanya, beberapa menara telekomunikasi sudah siap dibina di Perak, Pahang dan Johor, manakala Kelantan masih dalam proses.

“Apabila beroperasi sepenuhnya hujung tahun ini, capaian internet dijangka setanding dengan kawasan bandar.

“Tetapi yang lebih penting ialah inisiatif kerajaan untuk membantu mereka menampung kos langganan serta menyediakan sokongan peranti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button