MCMC, KKM perkasa sistem kesihatan digital menjelang 2027
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) mempercepat pelaksanaan Inisiatif Ketersambungan Penjagaan Kesihatan Masa Hadapan (FHCI) bagi mewujudkan sistem penjagaan kesihatan awam digital yang lebih pantas, cekap dan saling terhubung di seluruh negara menjelang 2027.
Inisiatif itu melibatkan pelaksanaan sistem digital di 2,488 fasiliti penjagaan kesihatan primer dan 150 hospital kerajaan menerusi Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) serta Rekod Perubatan Elektronik (EMR) bersepadu.
Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali berkata, usaha memperluas ketersambungan digital di seluruh negara kini menjadi asas penting dalam memperkukuh sistem kesihatan negara.
“MCMC telah menjadi pemacu utama usaha memperluas ketersambungan menyeluruh di seluruh negara berlandaskan satu prinsip yang jelas, ‘Di mana ada jalan, di situ ada internet’.
“Hari ini, asas tersebut membolehkan perkhidmatan kesihatan yang lebih terhubung dan cekap untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut MCMC, pelaksanaan FHCI memanfaatkan infrastruktur digital negara yang dibangunkan menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi meningkatkan akses rawatan termasuk di kawasan luar bandar dan kurang mendapat perkhidmatan.
Sistem itu membolehkan fasiliti kesihatan mengakses rekod pesakit dengan lebih cekap, mengurangkan kelewatan pentadbiran serta memperbaiki penyelarasan rawatan antara klinik dan hospital.
Setakat ini, sebanyak 468 fasiliti penjagaan kesihatan primer telah dilengkapi dengan sistem EMR, iaitu peningkatan empat kali ganda dalam tempoh kurang tiga tahun.
Pelaksanaan EMR di Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan juga telah mula beroperasi sepenuhnya, menjadikan kedua-dua lokasi itu yang pertama di Malaysia mencapai perkhidmatan penjagaan kesihatan primer digital sepenuhnya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata, sistem bersepadu itu akan membantu mempercepat proses rawatan pesakit di seluruh negara.
“Kita sedang bergerak ke arah konsep ‘satu individu, satu rekod’, di mana maklumat dapat dikongsi secara selamat, tepat dan dalam masa nyata merentasi sistem kesihatan.
“Ini akan membantu mengurangkan masa menunggu, menyokong keputusan klinikal yang lebih pantas serta memastikan pesakit menerima rawatan yang lebih lancar,” katanya.
Menurut MCMC, hasil awal pelaksanaan menunjukkan 81 peratus pesakit kini menerima rawatan dalam tempoh satu jam, selain sistem berkenaan menyokong lebih 75,000 transaksi pesakit setiap hari.
Pelaksanaan FHCI kini diselaraskan menerusi jawatankuasa pemandu bersama yang diwujudkan bagi memastikan tadbir urus dan koordinasi antara agensi berjalan lancar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








