Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit bukan seperti SOSMA
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan bahawa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) memberikan kuasa meluas seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Akta 342 hanya berfungsi khusus untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit bukan untuk digunakan sewenang-wenangnya.

“Ramai keliru menyangka akta itu memberi kuasa besar kepada KKM atau Pegawai Diberi Kuasa (PDK). Sebenarnya, PDK hanya diberi kuasa untuk menyiasat, mendapatkan maklumat dan mengeluarkan arahan kepada individu yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti untuk menjalani pengasingan atau pengawasan,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, dalam melaksanakan tugas, PDK boleh mendapatkan bantuan pihak polis atau unit beruniform lain seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 5 Akta 342.
“Akta 342 tidak boleh dibandingkan dengan SOSMA yang membolehkan pihak berkuasa menahan individu tanpa bicara selama 28 hari jika disyaki terlibat dalam ancaman keselamatan.
“SOSMA adalah undang-undang berkaitan keselamatan seperti keganasan.
“Manakala Akta 342 hanya fokus kepada kawalan penyakit berjangkit demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
Dzulkefly berkata, pindaan itu bertujuan memperkukuhkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman penyakit baharu termasuk pandemik.
“Pindaan itu akan menutup kelemahan dalam perundangan sedia ada sekali gus memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terus terjamin.
“Langkah itu amat penting untuk memastikan negara bersedia menghadapi cabaran kesihatan masa hadapan dengan lebih cekap dan efektif,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








