BERITA SEMASA

Platform digital diminta perketat saringan kandungan berbayar judi, penipuan

KULAI – Platform digital diminta memperketat proses saringan awal terhadap kandungan berbayar atau sponsored post yang berunsur perjudian dan penipuan sebelum ia disiarkan kepada pengguna.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kebimbangan timbul apabila kandungan seumpama itu dikesan dipromosikan secara meluas di media sosial hasil bayaran pihak tertentu kepada platform digital bagi meluaskan capaian kepada pengguna.

Menurutnya, kebanyakan aduan yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dikenal pasti melibatkan iklan berbayar, namun tindakan menurunkan kandungan hanya dilakukan selepas aduan dibuat dan kandungan tersebut sudah pun dipaparkan.

“Isu utama ketika ini adalah saringan awal. Mengapa kandungan seperti ini tidak ditapis dengan lebih berkesan sebelum disiarkan dan dipromosikan sehingga secara tidak langsung membantu aktiviti penipuan serta perjudian dalam talian,” memetik FMT online.

Nie Ching memaklumkan, dalam tempoh 15 hari pertama tahun ini sahaja, MCMC telah menurunkan 15,519 kandungan berkaitan perjudian dalam talian serta 5,241 kandungan berunsur penipuan, termasuk sebahagiannya melibatkan kandungan berbayar.

Sehubungan itu, beliau berkata, MCMC akan menggunakan peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian bagi memastikan penyedia platform yang diklasifikasikan sebagai pemegang lesen melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan, khususnya dalam aspek penilaian dan kelulusan kandungan.

“Langkah ini bertujuan memastikan kandungan berbahaya dapat diturunkan dengan lebih pantas selain mengelakkan ia disiarkan sejak peringkat awal,” katanya lagi.

Nie Ching turut berkata, MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu perjudian dan penipuan dalam talian serta menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan melalui saluran rasmi MCMC.

“Kita mahu memastikan platform turut dipertanggungjawabkan dan tidak membenarkan kandungan yang jelas memudaratkan ini wujud dalam ruang digital mereka,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button