MCMC lancar kohort ketiga ALPs perkasa kepimpinan masa hadapan
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan kohort ketiga Accelerated Leadership Programme Series (ALPs) sebagai usaha berterusan memperkukuh keupayaan kepimpinan serta memastikan kesinambungan barisan pemimpin masa hadapan organisasi itu.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, seramai 40 pegawai berpotensi tinggi (HiPo) dipilih menyertai program berprestij berkenaan menerusi kerangka pembangunan bakat dan kepimpinan yang dirangka khusus oleh suruhanjaya itu.
Menurutnya, ALPs merupakan komponen utama dalam Leadership Continuum MCMC yang bertujuan melahirkan pemimpin baharu berkeupayaan tinggi, khususnya dalam mendepani perubahan pesat teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
“Tiga objektif utama ALPs adalah membangunkan bakat berorientasikan masa hadapan, memperkukuh keupayaan kritikal bagi menerajui transformasi organisasi berteraskan digital dan AI, serta memupuk budaya prestasi tinggi sejajar dengan pembangunan kerjaya yang tersusun,” katanya.
Sebagai nilai tambah, program berkenaan dijalankan melalui kerjasama akademik bertaraf Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) bersama Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), yang menggabungkan ketegasan akademik dengan aplikasi pembangunan kepimpinan secara praktikal.
Selain itu, peserta turut mengikuti pensijilan profesional Kecerdasan Buatan daripada United States Artificial Intelligence Institute (USAII), sebuah badan diiktiraf antarabangsa, bagi memperkukuh kompetensi digital dan AI selari dengan mandat kawal selia MCMC.
Perjalanan pembelajaran ALPs merangkumi pengajian MBA, projek akhir, kelas master kepimpinan, sesi bimbingan eksekutif serta pembelajaran berasaskan pengalaman.
Peserta juga digalakkan mencetus dan melaksanakan inisiatif inovasi selain mewakili MCMC dalam pertandingan antarabangsa bagi memperoleh pendedahan kepada amalan terbaik global.
“Program ini mencerminkan komitmen MCMC dalam membangunkan kepimpinan secara bersistematik, memajukan bakat serta memastikan kesiapsiagaan organisasi dalam menghadapi cabaran kawal selia, industri dan teknologi pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








