Macklemore umum ‘Free Palestine Tour’
SEATTLE – Penyanyi rap Amerika Syarikat, Macklemore mengumumkan rancangan mengadakan jelajah bertemakan ‘Free Palestine Tour’ selepas tidak lagi terlibat dalam jelajah penyanyi Ed Sheeran.
Menerusi hantaran di Instagram, Macklemore secara berseloroh berkata, jadualnya kini lebih lapang susulan perubahan berkenaan.
Menurutnya, perkembangan berkaitan isu Palestin menunjukkan perubahan ketara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini apabila semakin ramai masyarakat mula menyuarakan sokongan terhadap pembebasan Palestin.
Katanya, perkembangan itu turut menyaksikan orang ramai mempersoalkan pengaruh golongan bilionair dalam menentukan suara yang mendapat ruang, selain peranan yang sepatutnya dimainkan golongan artis.
“Artis bukan sekadar diharap untuk menghiburkan, tetapi turut menggunakan platform dan pentas mereka untuk bersuara serta menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Macklemore, 43, berkata tindakan berdiam diri atau tidak memihak ketika berlaku apa yang disifatkannya sebagai genosid tidak lagi boleh diterima pada masa ini.
“Apabila golongan bilionair boleh menentukan suara siapa yang diberi ruang di pentas dan suara siapa yang dianggap terlalu berbahaya untuk didengari, semua orang perlu mengambil perhatian,” katanya.
Beliau turut mendedahkan sudah menghubungi beberapa artis yang sebelum ini menggunakan platform masing-masing untuk menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Katanya, mereka yang dihubunginya memahami bahawa pengaruh dan platform yang dimiliki artis tidak seharusnya hanya digunakan ketika keadaan selamat dan tidak berisiko.
Macklemore berkata perancangan jelajah berkenaan masih di peringkat awal, termasuk perbincangan mengenai jadual dan beberapa butiran lain yang belum dimuktamadkan.
“Jadi, kami akan mengadakan jelajah. Free Palestine Tour,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








