BERITA SEMASA

Anwar beri jaminan usaha maksimum desak pembebasan aktivis flotila ditahan Israel

SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan dan komitmen penuh untuk mengetuai segala usaha menggunakan hubungan dua hala bagi mendesak pembebasan segera aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan Israel.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, komitmen itu disampaikan Perdana Menteri menerusi panggilan telefon kepada pihak SNCC hari ini.

Menurut beliau, Perdana Menteri kini mengetuai usaha bersama Kerajaan Malaysia menggunakan hubungan diplomatik sedia ada selain berhubung rapat dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi memastikan semua aktivis yang ditahan dibebaskan segera.

“Perdana Menteri sedang mengetuai segala usaha bersama Kerajaan Malaysia menggunakan hubungan dua hala yang akrab serta telah berhubung rapat dengan Presiden Turkiye bagi mendesak pembebasan segera seluruh aktivis yang diculik.

“Usaha ini juga bagi memastikan mereka selamat dan mengelakkan mereka daripada dipenjarakan di Penjara Ketziot,” katanya pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak SNCC turut dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa Kementerian Luar Negeri Malaysia menggandakan usaha diplomatik bersama Turkiye dan beberapa negara lain.

“Langkah itu termasuk membuat persediaan melibatkan wakil kedutaan Malaysia di Istanbul, Amman dan Kaherah bagi memastikan keselamatan serta pembebasan rakyat Malaysia yang menyertai misi flotila kemanusiaan tersebut,” katanya lagi.

Beliau berkata, insiden berkenaan turut menerima kecaman antarabangsa termasuk menerusi demonstrasi dan kenyataan sokongan di beberapa negara seperti Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia dan Portugal.

“Mereka mengecam tindakan pencerobohan dan penculikan terhadap aktivis flotila kemanusiaan yang berlaku di perairan antarabangsa,” katanya lagi.

Sani Araby turut menyeru rakyat Malaysia terus memperhebat solidariti menerusi solat hajat, Qunut Nazilah, munajat nasional serta tekanan diplomatik dan advokasi berterusan sehingga semua delegasi kemanusiaan terbabit dibebaskan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button