Bayaran Insentif Wilayah ganti BISS, BISM untuk anggota ATM bermula 1 Julai – PM Anwar
KOTA KINABALU – Kerajaan meluluskan pemanjangan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) kepada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuatkuasa 1 Julai depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan tersebut adalah bagi menggantikan Bayaran Insentif Sabah/Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM).
“Mengambil kira kos sara hidup yang tinggi, Kerajaan Perpaduan juga bersetuju memanjangkan BIW menggantikan Bayaran Insentif Sabah/Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM) untuk manfaat pegawai dan anggota ATM berkuat kuasa 1 Julai 2023,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, kelulusan tersebut juga akan memberi manfaat kepada lebih 33,000 anggota ATM dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM87.8 juta setahun berdasarkan perjawatan tahun 2022.
“Nescaya, pengumuman dan penambahbaikan ini semua, mampu melonjakkan semangat anggota terus berkhidmat dengan terbaik di Sabah dan Sarawak demi keamanan serta kestabilan negara,” katanya lagi.
Terdahulu, Anwar menyantuni seramai 537 warga ATM pada program bersempena dengan Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Kem Lok Kawi bersama warga ATM 5 Briged Kem Lok Kawi di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








