Banjir Sabah: Mangsa meningkat kepada 2,288 orang pagi ini
KOTA KINABALU – Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 2,288 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 1,564 orang yang direkodkan malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, kesemua 935 keluarga terjejas kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang sedang beroperasi di beberapa daerah.
Daerah Beaufort mencatat lonjakan paling ketara dengan 945 mangsa daripada 291 keluarga, meningkat berbanding 395 orang sebelum ini.
Mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Selagon dan PPS Dewan DUN Banir.
Di Sipitang, jumlah mangsa meningkat kepada 421 orang membabitkan 176 keluarga, manakala di Membakut seramai 315 orang daripada 125 keluarga dipindahkan berbanding 211 orang malam tadi.
Bagaimanapun, keadaan di Pitas dan Sook kekal tanpa perubahan.
“Pitas mencatat 528 mangsa daripada 318 keluarga yang berlindung di PPS Dewan Terbuka Kanibongan serta Dewan Sinukab Kanibongan, sementara Sook merekodkan 79 mangsa daripada 25 keluarga di PPS Dewan SLDB Dalit Gana.
“Tenom pula menjadi daerah terbaharu dilanda banjir sejak petang semalam, namun jumlah mangsa masih belum dapat dipastikan kerana proses pendaftaran dan semakan sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Secara keseluruhan, sebanyak 140 kampung di enam daerah terjejas akibat bencana banjir yang melanda negeri ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








