Banjir di Pahang pulih, 2 PPS terakhir ditutup hari ini
KUANTAN – Situasi banjir di Pahang pulih sepenuhnya apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dan Maran yang menempatkan 49 mangsa, ditutup hari ini.
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, di sini, menempatkan 14 mangsa membabitkan empat keluarga ditutup pukul 2 petang tadi.
Manakala PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran yang menempatkan 35 mangsa membabitkan enam keluarga ditutup pukul 1.50 petang.
“Secara kumulatif seramai 18,303 mangsa membabitkan 6,061 keluarga di negeri ini terkesan akibat banjir pada November dan Disember,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Pahang, jumlah mangsa tertinggi dipindahkan ketika banjir melanda negeri itu direkodkan Jumaat lalu membabitkan 13,245 orang.
Kuantan menjadi daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa dipindahkan seramai 11,128 orang.
Kelmarin, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), mengeluarkan amaran luruan monsun dijangka berlaku antara 25 dan 29 Disember, berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung.
Analisis model cuaca terkini turut menunjukkan angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di Laut China Selatan sepanjang tempoh itu.
Kenyataan MetMalaysia turut memaklumkan, keadaan cuaca signifikan itu berisiko menjejaskan aktiviti harian orang awam, khususnya di kawasan terdedah kepada hujan lebat berpanjangan dan perairan bergelora.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








