Banjir Texas: Sekurang-kurangnya 81 maut, 41 lagi masih hilang
TEXAS – Sekurang-kurangnya 81 orang disahkan maut manakala 41 lagi dilaporkan masih hilang selepas kejadian banjir kilat yang melanda kawasan tengah Texas, Jumaat lepas.
Daripada jumlah tersebut, 68 kematian termasuk termasuk 28 kanak-kanak direkodkan di Kerr County, di mana sebuah kem musim panas untuk kanak-kanak perempuan, Camp Mystic, dilanda banjir besar.
Sepuluh kanak-kanak perempuan dan seorang kaunselor dari kem tersebut masih belum ditemukan, lapor BBC.
Selain itu, lima kematian disahkan di Travis County, tiga di Burnet County, dua masing-masing di Williamson dan Kendall County, serta satu di Tom Green County.
Angka korban dijangka terus meningkat kerana pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang.
Daripada mangsa yang ditemukan di Kerr County, 18 dewasa dan 10 kanak-kanak masih belum dikenal pasti secara rasmi.
Gabenor Texas, Greg Abbott menegaskan, pihak berkuasa akan “tidak berputus asa” untuk mencari individu yang masih hilang.
“Ia benar-benar menyayat hati melihat apa yang dilalui oleh kanak-kanak itu,” kata Abbott selepas beliau melawat kawasan bencana, semalam.
Cuaca buruk dijangka berterusan dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang di rantau berkenaan, sekali gus menjejaskan operasi menyelamat yang sedang dijalankan dalam keadaan mencabar termasuk risiko ancaman ular berbisa di kawasan lumpur dan runtuhan.
Tiga hari selepas kejadian, operasi menyelamat besar-besaran yang merupakan antara terbesar dalam sejarah Texas kini beralih kepada fasa pemulihan dan pencarian mangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








