Sany nafi dakwaan ‘sibuk berkaraoke’ ketika Hulu Langat dilanda banjir
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menafikan dakwaan bahawa beliau ‘sibuk berkaraoke’ di Sabah ketika kawasan Parlimennya mula dilanda banjir semalam.
Beliau berkata, tuduhan tersebut sebagai fitnah yang berniat memburukkan reputasinya.
“Saya menyampaikan sebuah lagu itu sebenarnya berlangsung pada 22 November lalu, bukan pada hari banjir mula melanda Hulu Langat.
“Saya berkaraoke di DUN Sulabayan selepas diminta masyarakat di sana. Mereka minta saya nyanyi satu lagu sebab kata suara saya sedap… jadi saya pun nyanyilah.
“Tapi saya menyanyi di depan orang ramai, bukan dengan anak dara orang pukul 2 atau 3 pagi,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini.
Sebaik sahaja menerima maklumat mengenai banjir di Hulu Langat semalam, beliau terus bergegas pulang dari Sabah dan turun padang meninjau keadaan.
Beliau turut melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SRA Dusun Nanding pagi ini, selain meninjau persiapan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan berkenaan.
Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional itu berkata, beliau memilih untuk memaafkan individu yang menyebarkan dakwaan berkenaan, namun mengingatkan supaya permainan politik sedemikian dihentikan.
“Saya rasa cukup-cukuplah bermain politik. Pembangkang seperti PN dan Pas sudah kehabisan modal.
“Jangan buat fitnah ketika rakyat sedang susah dan terbeban dengan banjir. Sepatutnya kita sama-sama bantu,” katanya lagi.
Terdahulu, beberapa platform media sosial mendakwa Mohd Sany sibuk berkempen dan berkaraoke di Sabah ketika Hulu Langat dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan yang menjejaskan beberapa laluan serta kediaman penduduk.
Pada PRN-17 Sabah yang dijadual berlangsung Sabtu ini, DUN Sulabayan menyaksikan pertembungan lapan penjuru dengan calon Amanah, Mohd Zulfikar Ab Mijan mewakili Pakatan Harapan (PH).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








