624 hektar sawah musnah akibat banjir di Kedah, kerugian dianggar RM4.6 juta
ALOR SETAR – Banjir yang melanda Kedah baru-baru ini menyebabkan kira-kira 624 hektar sawah di zon MADA III rosak teruk dengan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM4.6 juta.
Kawasan terjejas terutamanya di sempadan Pokok Sena, Pendang dan Kota Setar membabitkan tanaman padi yang sepatutnya sudah matang dan sedia untuk dituai.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kejadian itu berlaku pada penghujung musim pertama tahun ini, ketika sebahagian besar kawasan MADA sudah hampir selesai menuai.
Namun di Zon III, hanya 32 peratus tanaman sempat dituai akibat penanaman bermula lewat ekoran isu saliran dan pengairan di kawasan Pendang.
“Seluas 624 hektar sawah kini terjejas, sebahagian tenggelam sepenuhnya manakala selebihnya mengalami kerosakan separa.
“Padi yang musnah ini sudah matang dan sedia untuk dituai tetapi hujan lebat berterusan menyebabkan sawah tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika melakukan tinjauan di Titi Haji Idris, Zon III semalam.
Dr Ismail menjelaskan bahawa aliran sungai yang perlahan di kawasan rendah menjadi punca utama banjir, menyebabkan air lambat surut kerana perlu menunggu Sungai Anak Bukit mengalir ke Sungai Kedah.
Selain itu, dua projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Pendang dan Sungai Anak Bukit yang masih belum siap turut menyumbang kepada masalah itu.
“Apabila projek tebatan ini siap sepenuhnya, ia akan mempercepatkan aliran air keluar dan mengurangkan risiko banjir di kawasan MADA,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Tambah beliau, Kedah menerima purata hujan tahunan antara 2,000 hingga 2,100 milimeter dan setakat ini 1,400 milimeter sudah direkodkan.
“Dengan baki hujan antara 600 hingga 700 milimeter lagi menjelang akhir tahun, kawasan MADA berisiko berdepan banjir besar jika hujan lebat turun dalam tempoh singkat,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







