BERITA SEMASAHIBURAN

Jemson, Marionexxes boikot Spotify atas alasan etika, solidariti bersama Palestin

KUALA LUMPUR – Dua kumpulan muzik bebas tempatan, Jemson dan Marionexxes mengambil langkah drastik apabila menarik balik karya muzik mereka daripada platform penstriman Spotify sebagai tanda protes terhadap penglibatan tidak langsung syarikat itu dalam industri pertahanan serta konflik ketenteraan global.

Mengulas tindakan itu, kumpulan Jemson berkata, album terbaru mereka, JSM, sudah pun dikeluarkan dari Spotify dan proses untuk menarik keluar keseluruhan katalog muzik sedang dijalankan.

“Kami tidak akan bersekongkol dengan pembunuhan kanak-kanak atau menjadi sebahagian daripada mesin perang genosid.

“Terima kasih kerana berdiri bersama kami. Buat muzik, bukan perang,” kata mereka dalam satu kenyataan semalam.

Jemson, Marionexxes boikot Spotify atas alasan etika, solidariti bersama Palestin
Foto FB/Jemson

Jemson turut menyeru peminat, khususnya komuniti yang digelar Ahlul-JSM, untuk beralih kepada platform alternatif atau menyokong mereka melalui pembelian CD.

Sementara itu, kumpulan Marionexxes menyifatkan tindakan boikot tersebut sebagai satu pendirian moral terhadap penyalahgunaan hasil muzik dalam membiayai teknologi yang boleh digunakan untuk menindas dan menyerang penduduk awam, khususnya di Palestin.

“Muzik bukan sesuatu yang neutral. Diam bukan pilihan. Kami menolak sebarang bentuk sumbangan, walaupun tidak langsung, kepada sistem yang menindas rakyat awam,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Foto FB/Marionexxes

Kumpulan itu turut memperkenalkan album terbaru mereka, Harimau Malaya, dalam format CD serta barangan rasmi seperti baju-T, poster dan koleksi eksklusif yang boleh dibeli terus daripada saluran rasmi mereka.

“Kami akan terus edarkan muzik kami melalui platform yang beretika, format fizikal, dan saluran langsung kepada peminat.

“Setiap pembelian menyokong muzik bebas dan prinsip kami,” katanya lagi.

Kenyataan media dari Marionexxes

Marionexxes turut menyeru rakan artis, penerbit dan label lain untuk menilai semula tempat karya mereka disiarkan dan implikasi kewangan yang mungkin timbul daripadanya.

Langkah Jemson dan Marionexxes itu dilihat sebagai satu bentuk solidariti terhadap rakyat Palestin dan sebagai mesej tegas bahawa komuniti seni tanah air tidak mahu terlibat dengan mana-mana entiti yang menyumbang kepada mesin peperangan dan penindasan global.

Sebelum itu, media antarabangsa melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Spotify, Daniel Ek telah membuat pelaburan besar dalam syarikat teknologi pertahanan Jerman, Helsing.

Menerusi syarikat pelaburannya, Prima Materia, Ek mengetuai pusingan pembiayaan sebanyak €600 juta (sekitar RM3.28 billion) untuk Helsing, yang terkenal dalam pembangunan perisian pertahanan berasaskan kecerdasan buatan (AI) termasuk dron dan sistem pesawat pejuang.

Pelaburan tersebut mencetuskan kritikan hebat daripada pengguna serta artis di seluruh dunia yang melihat tindakan itu bercanggah dengan peranan Spotify sebagai platform hiburan.

Manakala beberapa artis antarabangsa seperti King Gizzard & The Lizard Wizard turut mengeluarkan karya mereka dari Spotify sebagai tanda bantahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button