BERITA SEMASA

MCMC sekat sementara Grok mulai 11 Januari

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara dikenakan kepada kecerdasan buatan (AI), Grok bagi pengguna di Malaysia, berkuat kuasa 11 Januari.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan itu diambil susulan aplikasi berkenaan berulang kali disalahgunakan untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan, termasuk kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.

“MCMC telah mengeluarkan notis kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 Januari 2026 dan 8 Januari 2026 bagi menuntut, antara lain, pelaksanaan langkah perlindungan teknikal dan penyelia kandungan yang berkesan untuk mencegah kandungan janaan AI yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Walau bagaimanapun, maklum balas yang dikemukakan oleh X Corp. pada 7 Januari 2026 dan 9 Januari 2026 hanya memberi tumpuan utama kepada mekanisme pelaporan yang dimulakan oleh pengguna serta gagal menangani risiko sedia ada yang wujud hasil daripada reka bentuk dan pengoperasian alat AI tersebut,” kata MCMC, hari ini.

Kenyataan itu berkata, maklum balas daripada dua konglomerat tersebut tidak memadai untuk mencegah kemudaratan serta memastikan pematuhan kepada undang-undang.

Sehubungan itu, sekatan itu dikenakan sebagai langkah pencegahan yang wajar sementara proses perundangan dan kawal selia masih berjalan.

“Sekatan akses kepada Grok akan kekal sehingga langkah perlindungan yang berkesan dilaksanakan, khususnya bagi mencegah kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak,” kata MCMC lagi.

Bagaimanapun, MCMC berkata pihaknya kekal terbuka untuk meneruskan libat urus dengan X Corp. dan xAI LLC selagi ia tertakluk kepada pematuhan yang dapat dibuktikan terhadap undang-undang Malaysia.

Pada masa yang sama, MCMC turut menggesa orang ramai supaya melaporkan kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada MCMC dengan segera dan, jika perlu, membuat laporan polis kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button