Calon PH Tanjung Bidara ketengahkan isu warga emas, kemudahan belia
MELAKA – Kebajikan warga emas yang uzur dan kekurangan kemudahan riadah untuk golongan muda antara isu utama dikenal pasti calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Muhammad Yunazri Mustamiri, sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, hasil tinjauan dari rumah ke rumah mendapati terdapat ramai warga emas di kawasan Londang berdepan kesukaran mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, terutama untuk ke klinik atau hospital.
Menurutnya, keadaan itu memerlukan perhatian serius kerana golongan berkenaan memerlukan kemudahan dan bantuan bagi memudahkan urusan mendapatkan rawatan.
“Berdasarkan tinjauan semalam, kami dapati di satu lokaliti dipanggil Londang terdapat ramai warga emas yang uzur dan mempunyai masalah untuk pergi ke klinik atau hospital,” katanya kepada Malaysia Tribune di sini hari ini.
Muhammad Yunazri berkata, golongan muda yang membentuk kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan pengundi di kawasan itu turut memerlukan perhatian, khususnya berkaitan kemudahan sukan dan rekreasi.
“Tinjauan di beberapa kawasan mendapati kemudahan seperti padang futsal agak terhad, menyebabkan golongan muda lebih banyak menghabiskan masa bersantai di kawasan panta,” katanya.
Beliau juga berpandangan pembangunan infrastruktur di kawasan pantai Tanjung Bidara perlu dipertingkatkan bagi menyediakan lebih banyak ruang riadah kepada golongan muda.
“Potensi ekonomi setempat, kawasan itu masih mempunyai peluang untuk berkembang, namun kemudahan infrastruktur perlu dipertingkatkan bagi menyokong aktiviti ekonomi penduduk,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Yunazri mengakui berdepan cabaran dalam persaingan PRN kali ini, namun yakin mampu memberikan saingan menerusi strategi kempen dan pendekatan mendekati pengundi secara bersemuka.
“Setakat hari kelima kempen, pasukannya sudah menjelajah kira-kira 30 peratus kawasan DUN berkenaan,”katanya.
Muhammad Yunazri bakal berdepan saingan satu lawan satu dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang merupakan penyandang bagi kerusi DUN Tanjung Bidara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














