Pu Long Suan mahu bawa lebih banyak pembangunan ke Duyong
MELAKA – Memanfaatkan hubungan lebih baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan Duyong menjadi antara tawaran calon Pakatan Harapan (PH), Pu Long Suan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, peluang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong sekiranya mendapat mandat rakyat akan digunakan untuk memperkukuh jaringan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, hubungan berkenaan penting bagi memastikan kawasan itu mendapat lebih banyak perhatian dan menikmati kemajuan pembangunan.
“Jika dapat menjadi ADUN di sini, kita ada rangkaian atau hubungan lebih baik dengan Kerajaan Persekutuan untuk membawa lebih banyak kemajuan kepada kawasan Duyong,” katanya kepada Malaysia Tribune ketika ditemui hari ini.
Long Suan berkata, keikhlasan dalam memberikan perkhidmatan, sikap rajin serta memastikan kebajikan semua penduduk tanpa mengira kaum dan agama turut menjadi keutamaan sekiranya diberi kepercayaan.
Mengulas persaingannya dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Helmi, beliau menyifatkan pertandingan itu sebagai ruang untuk mengamalkan politik matang apabila kedua-dua pihak saling menghormati usaha khidmat masing-masing.
Beliau turut mengiktiraf sumbangan yang dilaksanakan pencabarnya, sebagaimana Helmi juga mengiktiraf khidmatnya ketika berkhidmat sebagai ahli majlis.
“Pada saya, kita boleh asingkan dua perkara. Dari segi ahli politik, tidak kira di peringkat mana, bagus apabila kita mengamalkan politik matang dan masing-masing saling memberi dorongan.
“Namun, dari segi kerajaan atau pemilihan ADUN, itu adalah pilihan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, keputusan pengundi bukan hanya bergantung kepada individu yang bertanding, sebaliknya turut mengambil kira rekod perkhidmatan, parti serta keyakinan terhadap kepimpinan yang mentadbir negara.
Long Suan turut berkata, beliau sudah memulakan usaha mendekati penduduk dan peniaga di kawasan Duyong sebelum tempoh kempen bagi mendapatkan maklum balas mengenai isu setempat.
“Maklum balas diterima menunjukkan masih terdapat ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian demi kepentingan masyarakat setempat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













