PRN Melaka: Adly hormati Hadi, teguran isu CSA perlu berasas
MELAKA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menghormati Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai tokoh agama dan politik, namun menegaskan sebarang teguran terhadap Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) perlu disokong hujah serta bukti kukuh.
Beliau berkata, mengaitkan perjanjian berkenaan dengan istilah ‘dajal’ tidak menjadikan sesuatu tuduhan itu benar tanpa penelitian terhadap kandungan dokumen berkenaan.
Menurutnya, perbezaan pandangan mengenai aturan politik sewajarnya dijawab melalui hujah dan penelitian, bukannya sekadar menggunakan label tertentu.
“Dengan segala hormat, perbezaan pandangan tentang aturan politik wajar dijawab melalui hujah dan penelitian kandungannya. Label sebesar itu tidak dengan sendirinya menjadikan sesuatu hujah lebih kukuh,” katanya pada sidang media di BGU PH Melaka hari ini.
Adly berkata, pihaknya bersetuju hasil negara merupakan hak seluruh rakyat dan kebajikan mereka tidak sepatutnya bergantung kepada sokongan politik.
“Prinsip berkenaan perlu dibezakan daripada persoalan kerjasama antara kerajaan dengan pembangkang bagi menjamin kestabilan pentadbiran,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH pada 13 September 2021.
“Meskipun dokumen itu berbeza daripada CSA, kerjasama politik merentas parti bagi menjamin kestabilan negara bukan perkara baharu,” katanya.
Malah, Setiausaha Agung PAS ketika itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pernah berkata, kerjasama politik termasuk MoU berkenaan sebagai perkembangan yang boleh membawa manfaat kepada negara dan rakyat.
“Rakyat berhak bertanya, apakah yang berubah pada prinsipnya atau sekadar kedudukan Pas dalam kerajaan?
“Jika ada fasal CSA yang tidak adil, nyatakan fasalnya. Jika ada hak rakyat dinafikan, kemukakan buktinya. PH Melaka mengalu-alukan teguran yang berasas dan penelitian yang terbuka,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














