BERITA SEMASA

2.2 bilion panggilan meragukan, 2.2 bilion SMS tidak diminta berjaya disekat MCMC

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur hari ini melancarkan Kursus Penguatkuasaan Jenayah Siber sempena Majlis Penutupan Inter-Agency Retreat on Cyber Crimes 2025.

Pelancaran kursus tersebut disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan merentas sempadan.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pada tahun lalu, purata kos ketirisan data di rantau ini dianggarkan melebihi AS$3 juta (kira-kira RM12.7 juta), manakala kerugian akibat penipuan di Asia mencecah AS$688.4 bilion (sekitar RM2.91 trilion), dengan seorang daripada dua rakyat berdepan penipuan setiap bulan.

“Di Malaysia, sejak tahun 2022, MCMC telah menyekat 2.2 bilion panggilan meragukan dan 2.2 bilion SMS tidak diminta, menamatkan 185,499 talian SMS mencurigakan, serta mengemukakan 12,001 permohonan penurunan kandungan penipuan pelaburan.

“Justeru, kursus yang dibangunkan ini merupakan inisiatif strategik antara MCMC dengan PDRM yang bertujuan mempertingkat keupayaan pegawai penguat kuasa dalam aspek penyiasatan, pengumpulan bukti digital, pengurusan kes serta pelaksanaan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, kursus itu merupakan kesinambungan kepada Perjanjian Persefahaman yang telah ditandatangani pada 11 Mac 2024, yang menumpukan kepada pembangunan kapasiti berkaitan siasatan dan penguatkuasaan.

Katanya, jerjasama antara MCMC dengan PDRM turut merangkumi Op Pedo 1 (Disember 2024), Op Pancing (September 2025) dan Op Pedo 2 (September 2025).

“Kursus yang akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan ini memberi fokus kepada modul latihan standard untuk pegawai penguat kuasa daripada agensi kerajaan, dengan penglibatan kepakaran pelbagai agensi keselamatan jenayah siber di peringkat nasional.

“Inisiatif ini diharap dapat membentuk barisan penguat kuasa yang bersepadu dan responsif terhadap ancaman siber di negara ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button