RByteDance tegas tolak dakwaan jual TikTok kepada AS
BEIJING – Syarikat teknologi China, ByteDance menafikan laporan persetujuan menjual pegangan kawalan dalam platform media sosial TikTok kepada sebuah konsortium Amerika Syarikat (AS) yang diketuai oleh syarikat Oracle.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, ByteDance menjelaskan spekulasi berkenaan bukanlah perkara baharu dan telah dinafikan sebelum ini.
“Tiada sebarang perjanjian atau rundingan yang berlaku melibatkan penjualan pegangan majoriti dalam TikTok kepada mana-mana entiti luar,” katanya.
Sebelum ini, media AS melaporkan pentadbiran Presiden Donald Trump sedang merancang penstrukturan semula TikTok di AS, termasuk melalui usaha pengambilalihan oleh Oracle bersama beberapa pelabur tempatan.
Langkah itu dikatakan sebagai sebahagian daripada inisiatif keselamatan negara yang bertujuan memastikan data pengguna AS tidak dikawal oleh pihak asing.
Sebagai tindak balas, Kementerian Luar China menggesa Washington memberikan layanan yang adil dan tidak berat sebelah terhadap syarikat-syarikat China yang beroperasi di Amerika.
“Perlu ada dasar yang tidak diskriminatif terhadap firma asing, khususnya syarikat teknologi dari China,” jelasnya.
Menurut laporan New York Post, kerajaan China dipercayai sengaja melambatkan proses kelulusan terhadap penjualan TikTok sebagai langkah strategik untuk memperoleh kelebihan dalam rundingan perdagangan dengan AS.
Laporan itu turut menyebut Beijing menggunakan isu penjualan TikTok sebagai sebahagian daripada tawar-menawar diplomatik dalam ketegangan perdagangan yang masih berlarutan.
Trump pula sebelum ini menyatakan bahawa beliau akan mengumumkan senarai pembeli berpotensi TikTok dalam tempoh dua minggu, dan menyifatkan mereka sebagai tokoh berprofil tinggi dan memiliki kekayaan luar biasa.
ByteDance menegaskan sebarang urus niaga tidak akan dipertimbangkan selagi pertikaian perdagangan serta isu tarif antara Beijing dan Washington belum diselesaikan.
“Sebarang urus niaga perlu mengambil kira kepentingan strategik negara. Kami menolak tekanan unilateral yang boleh menjejaskan kedudukan syarikat China di pasaran global,” kata kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








