
AS lancar operasi ketenteraan di Ecuador
WASHINGTON – Pentadbiran Donald Trump melancarkan operasi ketenteraan bersama Ecuador bagi memerangi kumpulan yang dilabel sebagai “pengganas narkotik” di negara Amerika Selatan itu.
Menurut Al Jazeera, United States Southern Command memaklumkan operasi bersama antara tentera Amerika Syarikat (AS) dan Ecuador telah dimulakan pada 3 Mac lalu.
Ketua Komando Selatan AS, Francis Donovan berkata, operasi tersebut menyasarkan organisasi yang dikategorikan sebagai kumpulan pengganas di Ecuador.
“Operasi ini menunjukkan komitmen kukuh rakan strategik di Amerika Latin dan Caribbean dalam memerangi ancaman narco-terorisme,” memetik Al Jazeera online.
Pengumuman itu turut disertakan rakaman video helikopter tentera berlepas serta imej pengawasan udara yang memaparkan anggota menaiki pesawat di lokasi operasi.
Langkah itu dilihat sebahagian daripada pendekatan lebih agresif pentadbiran Trump dalam memerangi rangkaian jenayah serta kartel dadah di rantau Amerika Latin.
Bagaimanapun, skop sebenar operasi di Ecuador masih belum diperincikan.
Beberapa media AS melaporkan penglibatan tentera negara itu setakat ini tertumpu kepada sokongan logistik dan risikan kepada pasukan keselamatan Ecuador.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, operasi bersama itu merupakan tindakan tegas bagi menentang kumpulan yang selama ini menyebabkan keganasan, rasuah dan ketakutan di hemisfera tersebut.
Sejak memulakan penggal kedua pentadbirannya tahun lalu, Trump mengambil langkah mengklasifikasikan beberapa kartel dadah utama sebagai “organisasi pengganas asing”, istilah yang biasanya digunakan terhadap kumpulan bersenjata yang mempunyai matlamat politik.
Pentadbiran itu turut meningkatkan pendekatan ketenteraan dalam usaha membanteras penyeludupan dadah termasuk melancarkan serangan udara terhadap bot yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
Namun tindakan tersebut menerima kritikan pelbagai pihak yang menyifatkan perdagangan dadah sebagai jenayah di bawah undang-undang antarabangsa dan bukannya tindakan perang.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya 44 serangan udara telah dilancarkan terhadap bot yang disyaki membawa dadah di Laut Caribbean dan timur Lautan Pasifik, mengakibatkan kira-kira 150 kematian.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Ecuador, Daniel Noboa menyatakan kerjasama dengan AS menandakan fasa baharu dalam usaha memerangi penyeludupan dadah serta perlombongan haram di negara itu.
“Keselamatan rakyat Ecuador adalah keutamaan kami dan kami akan bertindak tegas terhadap penjenayah di mana sahaja mereka berada,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








