POLITIK

PH pertaruh rekod pentadbiran, bukan sentimen pada saat akhir kempen – Aminuddin

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) memilih untuk mempertaruhkan rekod pencapaian pentadbiran kerajaan negeri sebagai sandaran utama bagi meraih sokongan pengundi pada penghujung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, rakyat perlu menilai sendiri laporan pencapaian atau report card kerajaan negeri sepanjang tempoh pentadbirannya sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.

“Bagi saya, kita hanya ceritakan apa yang telah kita laksanakan sebagai report card yang harus rakyat lihat.

“Rakyat kaji dan rakyat boleh nilai. Kalau ia memang memudaratkan rakyat keseluruhannya, kami tidak rasa terkilan jika ditolak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Grand Finale Kekalkan Harapan di sini pada malam tadi.

Menurutnya, penjelasan mengenai manifesto dan pencapaian kerajaan negeri memberi keyakinan bahawa rakyat mampu membuat penilaian yang adil terhadap prestasi PH.

Aminuddin turut mendakwa manifesto yang dibawa pihak lawan mempunyai banyak persamaan dengan tawaran dikemukakan kerajaan negeri sebelum ini.

“Apabila manifesto daripada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional dilihat lebih kurang serupa dengan yang kita tawarkan, nampak seperti copy paste.

“Jadi ini antara perkara yang rakyat harus kaji semula,” katanya lagi.

Beliau berkata, kempen PH tidak tertumpu kepada usaha memburukkan pihak lawan, sebaliknya memberi fokus kepada pencapaian dan perancangan untuk rakyat.

“Saya tak cerita tentang keburukan orang lain, saya tak cerita tentang kelemahan orang lain. Saya ceritakan apakah kehebatan kami untuk mereka nilai.

“Kalau tidak boleh terima, itu hak mereka,” katanya lagi.

Aminuddin berkata, antara tawaran yang mendapat perhatian rakyat ialah perluasan bantuan kepada golongan M40 selain B40 serta peningkatan beberapa bentuk bantuan kebajikan.

“Golongan yang tinggal di kawasan bandar dan sub-bandar berdepan tanggungan hidup yang besar dan memerlukan perhatian khusus daripada kerajaan negeri.

“Kita nampak sambutan yang baik terhadap perluasan bantuan kepada M40. Golongan ini ramai dan kadang-kadang mempunyai tanggungan yang besar.

“Kita juga menaikkan bantuan kepada warga emas dan bayi yang baru lahir. Ada kenaikan yang signifikan untuk rakyat menerima manfaat selain inisiatif lain yang akan diumumkan dalam bajet nanti,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button