POLITIK

PH yakin ada kelebihan di Bukit Naning, rayu pengundi luar pulang mengundi

MUAR – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni yakin gabungan itu mempunyai kelebihan untuk merampas kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan sambutan yang diterima sepanjang tempoh berkempen.

Ysahrudin yang juga Timbalan Pengerusi PKR Johor berkata, setakat ini pihaknya telah menyantuni kira-kira 45 peratus pengundi termasuk di kawasan pinggir bandar dan pendalaman.

Menurutnya, beliau turut menerima maklum balas positif daripada masyarakat yang masih mengenalinya sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning.

“Syukur sokongan daripada masyarakat di kawasan pinggir bandar kepada Harapan semakin baik.

“Kami juga sudah masuk ke kawasan pendalaman dalam beberapa hari ini dan telah menyantuni lebih kurang 45 peratus pengundi. Saya fikir di kawasan pendalaman pun mereka masih mengenali saya sebagai ADUN kawasan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Naning, hari ini.

Beliau berkata, faktor peratusan keluar mengundi akan menjadi penentu penting pada pilihan raya kali ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi yang berada di luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab bagi memastikan proses demokrasi berlangsung dengan lebih baik.

“Saya minta semua pengundi yang berada di luar supaya pulang mengundi. Kita mahu lebih ramai keluar mengundi supaya pentas demokrasi ini lebih subur,” katanya.

Mengulas mengenai parti lawan, beliau berkata, fokusnya ketika ini adalah bekerja keras bagi memastikan kemenangan PH dan enggan mengulas mengenai pergolakan atau isu membabitkan parti lain.

“Saya beberapa hari ini pergi ke kawasan dan bekerja bersungguh-sungguh untuk memenangkan Pakatan Harapan. Soal parti lawan saya tidak mahu komen, saya mahu teruskan usaha sehingga hari pengundian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button