BERITA SEMASA

PRN Johor: Proses undi awal catat 94.49 peratus

JOHOR BAHRU – Proses mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang berlangsung hari ini mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 94.49 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan berkata, undian awal hari ini melibatkan 19,471 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pencapaian itu menunjukkan peningkatan berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 yang merekodkan 87 peratus keluar mengundi awal, iaitu peningkatan sebanyak 7.49 mata peratusan.

“Seramai 7,960 anggota tentera dan pasangan serta 11,511 anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi PRU Dewan Negeri Johor Ke-16,” kata SPR.

Kenyataan itu turut menyebut, sebanyak 62 pusat pengundian awal dibuka di seluruh Johor dengan operasi pusat pengundian ditamatkan secara berperingkat iaitu pada pukul 12 tengah hari membabitkan 29 pusat mengundi, pukul 2 petang (lima) dan pukul 5 petang (28).

SPR turut merakamkan ucapan tahniah semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta pasukan yang terbabit kerana melaksanakan tanggungjawab dengan amat baik sepanjang proses pengundian awal berlangsung.

Pada masa sama, SPR merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petugas media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas kerjasama serta sokongan yang diberikan bagi menjayakan proses pengundian awal tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button