Isu ratusan nombor satu nama, Fahmi arah syarikat telco beri penjelasan
PETALING JAYA – Syarikat telekomunikasi (telco) diarahkan tampil memberi penjelasan segera berhubung dakwaan sejumlah besar nombor telefon didaftarkan menggunakan satu nama susulan kebimbangan ia boleh dieksploitasi untuk kegiatan penipuan dalam talian (scam).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mahu penjelasan daripada syarikat terbabit diberikan hari ini bagi memastikan dakwaan berkenaan dapat diperjelas dan tindakan sewajarnya diambil.
“Maka syarikat-syarikat telco ini tidak boleh lagi berdiam diri. Saya akan panggil mereka untuk datang berjumpa saya dan beri penjelasan penuh tentang perkara ini.
“Beberapa sekatan telah dilaksanakan, termasuk pendaftaran bagi talian prabayar perlu disahkan menggunakan MyDigital ID. Ini penting kerana kita dapati ada sejumlah nombor telefon yang didaftarkan akhirnya untuk tujuan yang tidak baik dan disalahgunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Baca juga : PPIM zahir kebimbangan identiti pengguna disalah guna daftar talian telefon
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, proses pendaftaran nombor telefon perlu dilakukan dengan lebih ketat bagi mengelakkan identiti pemilik kad pengenalan disalahgunakan pihak lain.
“Kadangkala keluarga warga asing, kadangkala orang yang tidak dikenali atau individu yang menyerahkan MyKad dan sebagainya,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan akan meneliti dan mengesahkan maklumat berhubung dakwaan berkenaan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.
Dalam pada itu, Fahmi mengarahkan kempen Internet Selamat dipercepat dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan termasuk pinggir bandar serta kampung bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman scam.
Beliau berkata, usaha itu perlu melibatkan komuniti setempat termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan penduduk serta kumpulan kejiranan sehingga ke peringkat akar umbi.
“Saya minta supaya dua perkara disusuli. Pertama, PPIM sediakan satu kertas kerja untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan saya akan minta supaya kita fast track kempen Internet Selamat untuk bantu melaksanakan kempen seperti ini di lebih banyak tempat.
“Kita perlu meningkatkan kesedaran dan melaksanakan proses libat urus termasuk dengan PIBG, persatuan penduduk, kumpulan kejiranan hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.
Menurut beliau, capaian internet yang semakin meluas sehingga ke kawasan terpencil turut memberi peluang kepada sindiket penipuan dalam talian menyasarkan mangsa tanpa perlu berada di lokasi berkenaan.
“Bila kita sediakan internet sampai ke kampung-kampung yang terpencil, maksudnya scammer pun sudah boleh pergi ke kampung-kampung yang terpencil tanpa meninggalkan tempat kerja mereka.
“Justeru itu usaha untuk menangani penipuan dalam talian ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








